Sunday, October 4, 2009



Saya sedang merancang mencantikkan landskap di halaman rumah dengan cadangan membina sebuah air terjun buatan.




Baca Selanjutnya......

Monday, September 14, 2009

Sebentuk Cincin Berharga RM33,000.00

Sebentuk cincin yang berharga RM33,000.00 sebenarnya tidaklah semahal mana jika dibandingkan dengan harga cincin yang dipakai oleh orang-orang yang ternama yang bisa mencecah jutaan ringgit. Apakah kehebatan yang ada pada cincin milik mereka.

Sesuatu itu menjadi mahal apabila ianya diperbuat dari logam yang mahal menggunakan permata yang berharga dan tentunya ianya eksklusif. Anda juga mampu untuk memiliki cincin yang semahal itu dengan syarat anda mampu meletakkan nilai ekslusif pada cincin anda.

Terdapat juga di kalangan peminat cincin ini menyatakan cincin mereka kononnya mempunyai kehebatan dan bertuah. Sesiapa yang memakainya akan nampak hebat. Saya juga mempunyai sebentuk cincin yang bernama Harimau Berantai, kalau anda berminat untuk membelinya, saya sudi menjualnya pada harga RM5,000.00. Tiada kehebatan pun, pada saya cincin hanyalah sekadar cincin sahaja dan itulah harganya.

Jika anda bercadang untuk memiliki sebentuk cincin berharga RM33,000.00. Maka, katakanlah pada diri anda. “Aku ingin memiliki sebentuk cincin bernilai RM33,000.00 dalam tempoh 3 bulan dari sekarang.”

Sebaik saja anda melafazkan kata-kata tadi, anda mestilah bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera bagi merealisasikan kata-kata anda. Bertindaklah secara terancang. Pelbagai kaedah mungkin telah ada dalam dalam minda anda, cuma anda sebenarnya belum lagi bertindak.

Berikut adalah salah satu cara yang boleh dijadikan panduan.

Ingatlah anda ingin memiliki sebentuk cincin yang mahal. Untuk mencapai tahap mahal ianya mestilah eksklusif. Permata yang eksklusif, pengasah batu permata yang mahal, pembuat yang mahir, pengukir yang mahir dan corak yang eksklusif. Yang penting sekali ialah anda mesti menjadi seorang penilai yang berkualiti.

Jika anda memilih untuk membeli batu permata yang mahal, tentulah anda akan dapati ada batu yang lebih mahal dari yang anda mampu beli. Oleh itu sudah tentu nilai kelainan tidak akan terdapat pada permata yang anda beli. Contohnya, permata zamrud, delima, berlian, akik memang menarik tetapi anda tidak akan dapat meletakkan nilai eksklusif pada permata tersebut. Oleh itu anda perlu mendapatkan sebiji batu dengan mencari dalam longgokan batu biasa yang pada anggapan anda sendiri tiada harga sebenarnya, ini lebih mudah dilakukan kerana sememangnya eksklusif itu adalah kelainan dan ianya adalah satu-satunya.

Mula-mula anda perlu mencari beberapa butir batu yang menarik kerana antaranya akan anda nobatkannya sebagai permata yang bernilai. Saya sarankan agar anda lakukan kerja mencari batu yang eksklusif, jika anda pergi berkelah atau beriadah ambil sedikit masa untuk memerhatikan batu-batu di tanah. Saya yakin anda pasti menemui banyak batu.

Mungkin anda perlu pergi ketepi pantai, air terjun, sungai, ke bukit atau ke gunung. Atau mungkin hanya di laman rumah atau kebun anda. Perhatikan struktur batu-batu yang anda temui, ambillah batu tersebut dan cuci dengan bersih, pilihlah batu yang paling menarik yang anda rasakan ianya mempunyai nilai eksklusif, batu sebegini seumpama cap jari dan tidak akan anda temui corak yang sama.

Setelah anda kenalpasti beberapa butir batu yang anda temui, pergilah bertemu pengasah batu permata yang terkenal dengan kualiti kerjanya untuk memotong dan membentuk batu anda menjadi batu permata yang bersesuaian dengan saiz permata untuk cincin di jari anda.

Beberapa butir batu yang telah diasah tadi perlulah dinilai kecantikannya. Disini anda perlu memahirkan diri untuk menilai batu yang di asah itu paling berkualiti kerjanya. Pastikan beberapa butir batu yang telah diasah itu tiada kecacatan langsung, yakni kecacatan sifar.

Setelah beberapa biji batu itu dipilih kini tibalah giliran penghakiman batu yang paling menarik. Sesuatu yang menarik pada pandangan mata kita belum tentu cantik pada penglihatan orang lain. Menggunakan penilaian ramai adalah lebih baik dari penilaian kita seorang. Untuk tujuan ini saya sarankan agar anda menggunakan khidmat anak-anak anda atau beberapa orang anak saudara anda untuk menilai batu yang paling menarik. Kanak-kanak menilai apa yang tertarik dilihat padanya.

Senaraikan kertas semak dengan menandakan nombor atau huruf bagi setiap batu permata tersebut, mula-mula anda tentukan dihati anda batu yang paling menarik bagi anda dan dengan mengambil sekurang-kurangnya 20 responden buatkan ranking bagi setiap pilihan.

Kemudian, pilihan terbanyak itulah yang tercantik dan adakah pemilihan anda itu menepati citarasa ramai? Disini, anda mestilah menerima hakikat daripada keputusan yang dibuat dari soal-selidik tersebut.

Bawa permata itu kepada tukang emas, pembuat cincin dan tempahlah cincin anda itu. Setelah siap, pakailah dijari dan anda bolehlah meletakkan harganya RM33,000.00 atau lebih mahal lagi. Setiap kali orang bertanya harga cincin itu, katakanlah dengan yakin, RM33,000.00. Tanamkan di hati anda bahawa cincin itu tidak akan anda jual sama sekali selagi harga yang diminta walaupun 1 sen kurang dari RM33,000.00.

Nah, kini anda memiliki sebentuk cincin eksklusif di jari pada harga RM33,000.00. Meskipun kos untuk membuatnya kurang dari RM300.00.

Hebatkan.


Baca Selanjutnya......

Thursday, July 9, 2009

Anda Sememangnya Bertuah

Dalam kehidupan kita seharian, pelbagai cabaran yang akan kita lalui dan tempuhi. Adakalanya kita berada di puncak. Pujian dan sokongan yang menjulang mewarnai kehidupan kita. Namun jika nasib diambilkira, ramai yang lazimnya berkata nasib tidak selalu menyebelahi kita untuk terus mengekalkan kedudukan. Biarpun kita pernah jatuh terjunam, ianya tidak sama sekali akan melemahkan semangat kita untuk bangun semula. Itu semua, tidak akan mengubah tekad kita untuk terus berjuang bagi memastikan saat-saat manis berada di puncak akan berulang kembali.

Sebenarnya pujian yang paling ikhlas untuk dihadiahkan pada diri kita adalah dari diri kita sendiri. Telah sekian lama kita menilai dan memberi kredit atas apa saja usaha kejayaan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang berada di sekeliling kita. Pujian kepada diri bukanlah bermaksud masuk bakul angkat sendiri tetapi ianya lebih kepada kerajinan untuk terus meningkatkan produktiviti. Apakah penghargaan yang patut kita lakukan untuk diri kita sendiri? Banyak perkara baik yang telah kita lakukan, misalnya menyiapkan tugasan di tempat kerja dalam masa yang singkat. Tetapi boss kita tak puji jugak. Majikan pun liat nak naikkan gaji kita biarpun. Tetapi jika terlewat masuk pelbagai ugutan, sikit-sikit nak potong gaji dan dah potong pun. Maka itulah sebenarnya cabaran untuk kita terus membarai semangat kita.

Oleh itu, situasi begini akan menyebablkan kita berfikir untuk berhenti saja. Dalam apa jua keadaan anggaplah diri anda sebagai orang yang paling bertuah di waktu ini. Dalam segenap bidang yang anda ceburi anda adalah orang yang paling bertuah. Siapakah yang akan menaikkan diri anda kalau tidak anda sendiri yang meyakini diri anda bertuah.

Sama ada anda sedang gembira, ceria atau murung, tertekan kerana kecewa, ketegangan atau kerugian atau dalam keadaan `down,. Perkara pertama yang mesti anda lakukan ialah katakan pada diri anda bahawa anda adalah seorang yang bertuah, dan anda sentiasa berada dalam keadaan keberuntungan. Biarkan emosi sangka baik menguasai diri ada. Perkara ini agak sukar jika anda cuba mengamalkannya di saat-saat akhir iaitu ketika anda sedang down tetapi sedikit sebanyak ianya boleh membantu. Untuk kesan yang lebih baik. Lakukan latihan emosi sangka baik ketika berada dalam suasana selesa. Kemudian pupuklah setiap kali gangguan kecil menerjah kepada anda akhirnya dengan latihtubi dari semasa ke semasa akan memungkinkan anda untuk berdepan dengan cabaran yang paling besar.

Baca Selanjutnya......

Sunday, July 5, 2009

Dengan Hanya KLIK Anda Menjana Pendapatan



Jika anda membiarkan peluang yang datang berlalu begitu sahaja ianya adalah suatu kerugian yang besar. Nah cuba anda fikirkan, jika anda mempunyai kawasan rumah yang tidak sebesar mana tetapi anda tinggalkan sepotong batang ubikayu di situ. Tanpa anda peduli, anda akan dapati ubi kayu itu akan tumbuh dan mengeluarkan pucuk, pucuknya boleh dicelur dan dibuat ulam, dimasak sayur atau dijadikan urap. Sungguh enak, apabila anda memakannya bersama nasi. Anda pasti akan menghargai sumbangannya yang tidak ternilai itu.

Selepas beberapa bulan anda menanamnya, dalam diam-diam ubi tadi akan berisi. Pohon ubikayu tadi membuahkan hasil. Anda boleh mengali dan mengambil ubinya untuk dimakan atau dijadikan pelbagai juadah. Nah...hanya dengan sepotong batang telah memberikan hasilnya tanpa perlu anda bersusah payah menjaganya. Lalu anda mula bertanya pada diri sendiri, bagaimana pula jika sebelum ini anda telah menanam beberapa batang. Sudah tentu lumayan hasilnya.



Oleh itu, jika anda punyai kawasan belakang rumah yang dibiarkan atau kawasan kebun yang tidak diusahakan. Maka inilah waktunya anda harus berfikir dan bertindak. Setiap benih iaitu batang ubi yang anda semai akan mencarum hasilnya kepada anda.



Justeru, tindakan anda untuk membuat KLIK dan menjadi affliate sebenarnya adalah satu cara bagaimana anda boleh menghasilkan duit. Biarkan sistem bekerja untuk anda. Di sinilah caruman akan berlaku kepada akaun anda seumpama anda menanam ubi.

Baca Selanjutnya......

Tuesday, June 30, 2009

Cara Untuk Menjadi Jutawan



Ramai yang tertanya cara untuk jadi jutawan, makanya saya cuma mampu katakan begini. Jika saya sebut anda boleh jadi jutawan dengan caranya begini-begini, lalu anda pun berkata balas, apakah yang saya katakan itu boleh terjadi, mampu berlaku atau bisa menjadi reality. Di sini anda mula meletakkan suatu bentuk persoalan sebelum memulakan perjalanan. Okey kita tinggalkan ianya sejenak…kerana ada orang datang.

Sedang kita berbicara ini, muncul seorang teman lalu bertanya saya, gi mana jalan dan caranya untuk saya ke Kuala Lumpur. Belum pun sempat saya menjawab pertanyaan itu, anda pulak yang lebih dulu menyampuk dan menyampaikan informasi kepadanya, bukan sekadar untuk ke Kuala Lumpur bahkan ke Tanjung Balai pun anda boleh ceritakan perjalanan yang sejelas-jelasnya dan tak mungkin sama sekali teman kita itu akan sesat. Bukan sahaja dia, kalau anda pun tidak pernah sampai atau tidak tahu mana nak dituju maka anda bakalan sesat di perjalanan juga.

Nah, semua destinasi ada jalannya. Tinggal lagi anda belum ke temu orang yang tahu arah tujunya atau orang itu sedang dalam perjalanan untuk menuju ke situ. Makanya, biar saya khabarkan bahawa menjadi Trilonwan sebenarnya lebih mudah dari menjadi Jutawan. Kenapa begitu? Pertama apabila anda menyebut untuk menjadi jutawan mereka segera iaitu teman-teman baik kita akan memandang anda dengan kelekehan sebelum mereka memberikan kata rangsangan. Tetapi jika anda berkata anda ingin menjadi Trilionwan, pastinya mereka akan terdiam kerana mula berfikir dan mengaruk kepala yang tidak gatal untuk menambah kosong selepas bilangan juta.

Itulah letupan minda yang anda telah lakukan, lalu anda terangkan pada mereka trilionwan ialah bukan ratus juta atau ribu juta tapi trilionwan ialah juta-juta. Wow, anda hebat kerana mampu menunjukkan satu destinasi pelancongan minda yang baru. Bergegar otak saya memikirnya. Saya sebenarnya dah dapat jadi jutawan sekali, bila mana saya tukarkan duit yang nilainya hampir RM400 kepada rupiah. Menjadi jutawan saya, maksud saya juta rupiah.

Okey, sebelum anda memulakan destinasi anda untuk menuju trilionwan itu, biar saya berikan satu panduan atau pengiraan mudah bagi menjadikan duit RM100 menjadi SEJUTA. Anda fikir atau carilah suatu perniagaan yang memungkinkan anda mendapat keuntungan 20% setiap kali niaga. Jika anda mulakan modal itu dan meningkatkan keuntungan 20%. Lihatlah nilaiannya duit RM100 mampu menjadi RM1,092,052.58.


(Klik imej untuk besarkan)

Sebenarnya rahsia untuk menjadi trilionwan itu tersirat menjadi rahsia untuk menjadi jutawan yang ada di dalam buku ini. Jika anda masih berkira-kira untuk mengeluarkan sedikit wang dalam penerokaan ilmu, lupakanlah hasrat anda lalu anda mundur ke belakang atau anda berubah dan maju ke depan, temui anda di puncak kejayaan dan KLIK.


Baca Selanjutnya......

Merasa Buah Durian Di Luar Musim



Bayangkan anda mempunyai sepohon durian durian di hadapan rumah anda dan pohon tersebut akan mengeluarkan buah pada musimnya. Anda boleh makan buah durian itu sepuasnya serta membahagikan kepada jiran dan sahabat anda. Ada kalanya orang ada datang untuk membeli buah tersebut. Pohon durian tersebut dapat tumbuh segar kerana anda telah menyediakan suasana yang sesuai semasa menanamnya beberapa tahun yang lalu. Selain daripada baka yang elok, penjagaan yang rapi, pembajaan telah anda amalkan. Oleh itu, amat bermaknalah usaha anda selama ini dengan hasilnya kerana terdapat juga orang telah mengambil masa bertahun-tahun malangnya tiada hasil. Lebih malang dari menunggu buah yang tidak gugur. Seseorang yang bertuah adalah seumpama magnet yang dapat menarik besi ke arahnya. Bagi memastikan diri kita mempunyai aruhan keberuntungan. Pelbagai persediaan dalaman perlu dibuat sebelum ia menjadi realiti.

Seperti segelas air yang tiada gula tiada terasa manisnya. Jika anda ingin menjadi seseorang, ia perlu dirancang mulai sekarang. Setidak-tidaknya anda mempunyai satu kelebihan daripada orang lain.

Jika anda berminat untuk menjadi pengacara televisyen, anda perlu menjalani latihan untuk mengasah tersebut. Begitu jugalah apa saja yang anda ingin jadi. Apa yang anda perlu buat ialah mengubah diri dan pemikiran anda menjurus ke arah itu.

Berbalik kepada buah durian tadi, sebagai lanjutan topik ini. Bagaimana orang-orang tua kami telah memulakannya sejak lama dulu. Saya ingin menarik perhatian terhadap kebun-kebun durian yang ditinggalkan oleh arwah moyang saya yang masa ada di bukit. Meskipun ada giliran hari untuk keluarga kami ke sana pada setiap musim durian tetapi, telah tidak diteruskan lagi sejak arwah ayah saya. Namun adakalanya keluarga kami masih dapat juga merasa durian tersebut kerana dua pupu sebelah ayah tu sanggup kirim juga. Kami ucapkan terima kasih dan itulah hubungan kekeluargaan yang bisa terjalin disebabkan kebun durian di bukit itu. Bukan permintaan kami.

Memandangkan keluarga kami tinggal di bandar, perkara ini dah lama dipesan pada sedara mara yang tinggal berhampiran di sana agar tidak perlulah susah-susah untuk hantar dan lagi, jualkan aja jika terlebih buat menampung hidup mereka yang juga darah daging kami. Arwah ayah kata tinggal di pekan adakalanya kita dapat makan durian tanpa musim dan mereka jangan susah untuk fikirkan tentang kiriman durian itu. Yang penting hubungan kekeluargaan terus terjalin dan jangan nanti kerana buah durian yang semakin berkurangan disebabkan pokok-pokok yang usianya lebih tua dari umur datuk kami itu yang dah makin berkurangan sangat akan menjadi penyebab kerengangan antara waris.

Arwah ayah sentiasa berpesan pada kami, jika nak ke rumah keluarga jangan hanya tunggu musim buah. Pergilah dengan membawa buah tangan.

Seperkara tentang ketegasan arwah ayah ialah katanya, sanggupkah anda untuk pergi mengambil dan makan buah durian itu sedangkan anda semua tidak pernah pun pergi membajai pokok durian itu.

Mungkin hasil durian peninggalan moyang kami boleh meningkat kiranya kebun-kebun durian itu diurus serta dibaja dan tidaklah hanya bergantung kepada pembajaan semulajadi.

Dalam hal ini, jika anda mahu menjadikan diri anda berkualiti. Bajailah diri dengan mencari ilmu, latihan dan amalankan. Salam kemesraan dan makanlah buah-buahan tempatan terutama raja buah, buah durian.

UNTUK KAEDAH PEMBAJAAN DURIAN klik DISINI


Baca Selanjutnya......

Monday, June 15, 2009

Sempurnakan Sikap Mu

Rata-rata orang yang berjaya adalah orang yang mempunyai sikap yang mendorong mereka menuju kejayaan. Untuk mencapai kejayaan seperti mereka anda perlu mempunyai sikap seperti mereka.

Sikap boleh diubah dengan cara yang mudah. Ianya seumpama anda menyarungkan pakaian. Buktinya manusia yang menyarungkan sarung beruang menyebabkan kita menyangka ianya seekor beruang. Tentulah kita akan terkejut jika kita disergah oleh beruang sarung itu. Apabila anda menonton beberapa filem Melayu misalnya, cuba perhatikan pelakon popular, pelbagai watak boleh dilakonkannya dengan baik dan adakala kita juga turut teruja untuk menjadi hero sepertinya dalam alam nyata ini. Lihatlah kemampuannya menempa kejayaan, banyak anugerah telah diperolehi kerana lakonannya berjaya menjiwai sesuatu watak yang diberi. Ketulusan hatinya ketika berlakon bukan kerana sesuatu anugerah tetapi tanggungjawab yang diterima.

Siapa pelakon hebat itu, beliau berjaya kerana komitmennya terhadap skrip yang diberi. Skrip adalah maklumat penting bagi seorang pelakon. Daripada skrip tersebutlah dia akan tahu wataknya, dialog, kesesuaian pakaian, mimik muka yang perlu dibuat. Melakonkan watak orang kaya tentulah berbeza penampilannya dengan watak orang gila. Orang mabuk berjalan terhoyong-hayang, hero pula berjalan segak dan bergaya.

Baca Selanjutnya......

Friday, June 12, 2009

Saranan Diri

Berapa banyak kursus motivasikah yang telah anda ikuti tetapi sehingga kini, segala yang dicita dan dirancang masih tidak mencapai tahap yang membanggakan? Adakalanya mereka yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih rendah, 'berjeregut' (lebih besar) keretanya daripada anda. Dimanakah silapnya? Menang relatif ialah apabila anda telah berjaya mencapai kejayaan. Manakala kejayaan hidup ialah tercapai apa yang diinginkan. Apakah anda ingin melihat masa berlalu begitu saja? Sebabnya mudah – semua terjadi umpama anda menjual ABC ketika hujan lebat.

Mangkai ialah apa saja hajat dan keinginan peribadi anda atau janji dari seseorang yang benar-benar dan nampak pasti rupanya kantoi akhirnya. Percayalah untuk mendapat nombor satu peluang yang ada hanyalah satu tetapi peluang untuk mendapat 100 markah terbuka kepada setiap orang. Tiada halangan untuk berjaya cuma anda tidak berada masa dan waktu yang sesuai. Sembahyang Jumaat hanyalah pada hari Jumaat. Manakala puasa wajib hanyalah pada bulan Ramadan. Justeru, tidak akan masin rasa gula kerana itulah logiknya. Anda mesti berada di landasan yang betul supaya anda akan sampai ke destinasinya. Peluang sentiasa ada dan marilah menuju kejayaan.

Sama ada anda percaya atau tidak, semuanya terpulang kepada anda, dalam sebuah kamus yang sebegitu tebal hanya ada tidak lebih 300 perkataan sahaja yang positif manakala yang lainnya kalau tidakpun neutral ianya lebih menjurus kepada perkataan negatif. Sebagai contoh jika anda sebutkan perkataan berani maka lawannya seperti penakut, pengecut, gentar, khuatir, bimbang, ragu-ragu dan sebagainya. Perkataan sebegini lebih banyak dari perkataan seerti. Begitu juga jika anda sebut berjaya maka lawannya pun banyak juga seperti gagal, kandas, kecundang, tewas, kalah, mati, mampus dan sebagainya. Menjadi amalan biasa hampir semua orang dalam kehidupan ini, menyebut perkataan yang tidak pasti kesannya kepada minda.

Kini, apa yang perlu anda lakukan ialah mendayaguna perkataan-perkataan positif ini dalam minda anda. Baca, tulis, hafal dan ulangi. Tuliskan 245 perkataan positif yang disertakan untuk pemprograman minda. Anda boleh menambahkan lagi perkataan positif yang anda temui ke dalam senarai anda.

Tulis satu persatu perkataan tersebut dengan tulis anda sendiri secantik yang boleh. Selepas itu, anda hanya perlu menghafal perkataan-perkataan ini dan ulangi menulis perkataan ini dalam masa sekurang-kurangnya 1 jam sehari selama 30 hari. Jika anda menggunakan tangan kanan, cuba amalkan menulis menggunakan tangan sebelah kiri pula. Minda bawah sedar anda akan terangsang dengan maksud perkataan ini.

Kesan yang paling awal semasa peringkat awal, anda akan dapati dalam beberapa hari setelah anda lakukan, perubahan positif akan berlaku pada diri anda dan jangan berhenti dari membuat aktiviti ini.


Baca Selanjutnya......

Bermula Di Sini

Tiada orang yang lebih tahu tentang diri anda, melebihi daripada apa yang anda tahu tentang anda. Perkukuhkan diri anda dengan pekerti yang mulia, mempunyai hasrat berbudi yang subur dan menguasai cara bercakap yang baik. Berikan senyuman apabila bersua, pedulikan jika ada sindiran kerana senyuman anda. Lebih baik senyum tersengih seperti kerang daripada wajah yang masam mencuka. Ucapkan salam semasa bertemu atau ketika menjawab telefon.

Hangatkan kemesraan semasa berbual, hidupkan mood yang ceria dan fahami cuaca emosi orang yang anda sedang berhadapan. Dengar serta fahami apa yang ingin dibicarakan sebelum anda turut berbual. Pastikan topik yang anda bawa untuk berbincang masih relevan dan menurut arah sepatutnya.

Jadilah seorang yang baik hati dan berkawanlah tanpa sebarang niat untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain. Apabila anda mempunyai kesempatan masa untuk berbakti berikan keutamaan dan pilihlah dan pergi kepada mereka yang lebih memerlukan.


Baca Selanjutnya......

Wednesday, June 10, 2009

Hormati Dirimu Sendiri

Penghormatan terhadap diri ialah menerima hakikat untuk meletakkan diri berjaya dalam kehidupan dunia dan tanggungjawab sebagai insan untuk menuju kebahagiaan akhirat.


Rasa hormat seseorang terhadap diri anda adalah bermula daripada diri anda sendiri. Setiap tindakan yang akan anda buat mestilah dibuat demi kepentingan diri anda. Jika anda mengutamakan diri anda dalam pemberian hak bermakna anda tidak mementingkan diri anda sendiri sebenarnya. Bezakan dua ayat ini, membuat untuk kepentingan diri atau berbuat kerana mementingkan diri. Mungkin berpendapat ini bertentangan daripada kata-kata yang lazim didengar, jangan mementingkan diri sendiri. Ayat ini perlu dilihat dalam dua dimensi yang berbeda. Oleh itu anda perlu mengutamakan orang lain untuk memastikan kepentingan diri anda tidak terjejas. Adalah tidak wajar untuk anda menyuruh orang lain menghormati anda sedangkan anda sendiri tidak memberikan penghormatan terhadap anda yang sewajarnya.

Setiap tindakan pasti ada tindakbalasnya. Untuk memastikan orang lain hormat kepada anda, hormatilah orang lain mengikut cara yang anda juga mahu orang lain menghormati anda. Jika anda sering berkasar terhadap orang lain, tidak hairanlah nanti orang lain akan berkasar kepada anda.

Apa jua amalan perlu bermula daripada diri anda sendiri. Tanpa mengira umur, sama ada rakan sebaya, lebih tua atau muda. Lihatlah keluarga, sahabat, jiran tetangga, masyarakat yang berada di sekeliling anda dengan rasa penuh kasih sayang. Gunakan bahasa yang lembut apabila berbicara, amalkan cara hidup yang harmoni bagi pembentukan diri anda yang dihormati.

Anda tidak akan rugi satu sen pun hanya kerana apabila anda menghormati orang lain. Bukan bereti anda lemah atau mengalah atas sikap itu. Berikan penghormatan sepatutnya kepada ibu bapa, saudara-mara, rakan taulan, pemimpin masyarakat tanpa mengira fahaman politik, guru, ketua, orang tua ataupun kanak-kanak.

Hulurkan khidmat bakti anda dengan ikhlas apabila tenaga atau bantuan anda diperlukan oleh orang lain. Libatkan diri dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan oleh masyarakat setempat anda, seperti kempen kebersihan, kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Tingkatkan rekod penglibatan anda dalam apa jua aktiviti ini dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Penglibatan diri dalam aktiviti sebegini akan mewujudkan suasana masyarakat yang bersatu. Malah tidak menjadi sukar untuk anda apabila berhasrat mengadakan aktiviti amal. Akan ramai yang sanggup dan turut serta menolong menjayakan aktiviti yang anda anjurkan. Tolong-menolonglah dalam melakukan kerja-kerja kebaikan. Berikan pertolongan dengan hati yang ikhlas. Keikhlasan akan hadir setelah diri anda dipupuk melalui aktiviti yang dijalankan berulang-ulangkali.

Baca Selanjutnya......